Dalam kemalangan tersebut, warga emas, Ibrahim Daud, 71, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala isterinya, Latipah Dorahim, 66, menghembuskan nafas terakhir semasa mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah.
Dua lagi mangsa yang terkorban ialah menantu mereka, Syazana Tharin, 30, dan cucu lelaki berusia lima tahun, Yusuf Daniel Muhammad Izwan yang turut meninggal di hospital sama.
Dalam pada itu, seorang lagi cucu lelaki, Aniq Fahim Muhammad Izwan cedera pada bahagian kepala dan sedang dirawat di zon merah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, pemandu Toyota Estima yang juga anak lelaki kepada pasangan warga emas itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kemalangan berlaku disebabkan sebuah lagi kereta jenis Toyota Land Cruiser yang keluar dari simpang berkenaan untuk membelok ke kanan.
“Datang kenderaan dinaiki semua mangsa yang sedang meneruskan perjalanan telah cuba mengelak ke arah kanan jalan dan cuba membrek sejauh lima meter, tetapi melanggar juga Toyota Land Cruiser itu pada bahagian kiri hadapan.
“Daripada pelanggaran tersebut seorang penumpang Toyota Estima telah meninggal dunia di tempat kejadian. Semua penumpang lain telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan. Pemandu Toyota Land Cruiser itu juga telah dibawa ke hospital.
“Tiga lagi mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan. Jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak hospital untuk proses bedah siasat dan kenderaan telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Arshad, semasa kejadian Toyota Land Cruiser dipandu seorang peniaga berumur 59 tahun dari arah Durian Tunggal menghala ke Selandar, manakala kereta mangsa pula dari arah Selandar ke Alor Gajah.Dalam pada itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, kesemua mangsa terlibat sedang dalam perjalanan ke Langkawi, Kedah untuk meraikan sambutan hari lahir Ibrahim.
“Pagi yang amat menyedihkan. Berhati-hatilah semasa pemanduan. Kecuaian sedikit boleh mengakibatkan kehilangan orang yang tersayang.
“Kemalangan di simpang tiga Kampung Asli Machap Baru pagi tadi telah meragut empat nyawa. Dengar cerita mereka bersama keluarga dalam perjalanan ke Langkawi untuk meraikan hari jadi datuknya.
“Amat sedih arwah meninggal dunia pada hari yang sama hari jadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, salam takziah,” katanya. – UTUSAN