SEORANG peniaga nasi lemak maut dalam kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Besar Jengka 18, Maran.
Mangsa Haryanti Lamsa, 29 tahun dari Felda Sena Jengka 16 yang memandu kereta Proton Persona dipercayai bertembung dengan sebuah lori syarikat perkhidmatan penghantaran cepat yang datang dari arah Temerloh.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Bandar Pusat Jengka menghala Temerloh.
Ketika sampai di tempat kejadian, kereta dipandu Haryati cuba memotong kenderaan lain kemudian bertembung dengan lori tersebut dari arah bertentangan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu lori cedera di bahagian siku dan bahu sebelah kanan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk proses bedah siasat.
Sumber : malaysianews